Assalamualaikum
Berikut merupakan bahagian terakhir daripada post;
Semoga dengan ini kita sama-sama dapat mengislahkan diri dan memperbaiki segala kekurangan dan kecacatan akhlaq dan peribadi, insyaAllah.
Mengamalkan akhlak yang baik:
17. Mengamalkan akhlak yang baik adalah satu daripada jalan-jalan yang paling penting dalam membentuk jiwa bertaqwa dalam diri para remaja dan belia sama ada lelaki atau wanita.
18. Akhlak yang baik sedemikian penting sehingga dalam al-Quran nabi Muhammad saw dipuji oleh Allah dengan menyebutnya dari segi akhlaknya, sebagaimana yang jelas dalam ayat yang bermaksud:
“Sesungguhnya akhlak tuan hamba sungguhnya hebat wahai Muhammad):.(al-Qalam:4).
Dan dalam hadith riwayat Abu Daud dinyatakan bahawa Nabi diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia. Dan di kalangan sarjana Barat terkenal bahawa pimpinan Rasulullah saw berkesan “by sheer moral force” kerana akhlaknya yang sedemikian bertenaga.
19. Sifat-sifat yang mulia itu hendaklah difahami dan diyakini kebaikannya bagi membentuk ketaqwaan, mulai dengan sifat-sifat yang ada pada Nabi saw sendiri – sidiq (benar), amanah, tabligh (menyampaikan kebenaran) dan fatanah atau kebijaksanaan (dan kita menjadi bijaksana kerana kita menumpang kebijaksanaan Allah dan RasulNya dengan kita memahami Quran dan Sunnahnya dan kitab-kitab ulama yang menghuraikan kedua-duanya). Hendaklah kita berperagai dengan perangai yang baik seperti pemurah, ikhlas, rajin dalam kebajikan, tepat menunaikan janji,peramah, suka menolong orang yang memerlukan pertolongan, sabar , tekun dalam melakukan sesuatu pekerjaan yang baik.
20. Dan boleh disebutkan bahawa sebagai pelajar perlu dijaga, untuk menjaga ketaqwaan: keimanan yang kuat, pengabdian kepada Tuhan, akhlak yang mulia, mengambil berat tentangt usaha mempelajari ilmu, samada ilmu keagamaan atau juga ilmu-ilmu lainnya yang bermanafaat dalam rangka fardhu kifayah, disiplin dalam hidup dengan penuh tertib dalam semua perkara: dalam ibadat, belajar, pergaulan, dengan guru dan ibu bapa serta kawan-kawan dan seterusnya, serta sifat gigih atau bersungguh-sungguh.
21. Dan dalam hubungan dengan pelajar juga perlu disebut sifat-sifat taqwa sebagai pelajar: bersungguh-sungguh dalam mempelajari ilmu kerana Allah dan kerana hendak memberi kebaikan kepada diri, keluarga dan masyarakat serta negara dan ummat Islam, bahkan ummat manusia amnya. Juga hendaklah dijayakan budaya membaca dan mencatit secara berkesan, juga budaya membeli buku bila ada kemampuan.
Menjaga aturan-aturan Syara’
22. Selain daripada itu hendaklah para pelajar membentuk ketaqwaan diri dengan memahami aturan-aturan Syara’ dan mengamalkannya dalam hidup harian. Dengan menjaga aturan-aturan haram-halal dalam Syara’ itu maka para pelajar dan belia akan mendapat kejayaan dalam hidup dan keberkatan.
Kisah-Kisah Hidup Peribadi Utama Dalam Sejarah
23. Antaranya dalam rangka membina ketaqwaan dalam diri hendaklah para belia mendedahkan dirinya kepada kisah-kisah kehidupan peribadi-peribadi utama dalam ummat ini seperti nabi Muhammad saw, para Sahabat, lelaki atau perempuan, para tabi’in, para pemimpin Islam, juga para ulama dan ahli pengetahuannya seperti Imam -imam yang empat, Imam al-Ghazali, ibn Khaldun, Salahud-Din Ayyubi, Iqbal, ‘Alauddin Ri’ayat Syah, Bendahara Tun Perak, dan seterusnya.
Menjaga Jatidiri Melayu Islam Sunni Nusantara
24. Hendaklah para belia mengelak diri daripada dirosakkan jatidiri Melayu Islamnya dengan mengamalkan budaya asing seperti budaya barat atau Amerika dengan melampau-lampau memuja cara pergaulan mereka, pakaian mereka, hiburan mereka, film mereka, minuman mereka dan budaya “celebrity” mereka.Kita perlu kembali kepada jatidiri Melayu Muslim dan berbangga dan merasa diri terhormat dengan jatidiri itu.
Maruah Diri, Keluarga, Masyarakat dan Ummat
25. Hendaklah setiap belia merasa terpanggil untuk menjaga maruah diri sebagai Melayu Muslim di rantau Nusantara, maruah bangsanya, dan maruah masyarakat Islam serta maruah keluarga. Maruah keluarga ini adalah pengajaran Quran, sebab itu bila Siti Maryam as membawa saidina ‘Isa as dia ditanya “Wahai Maryam ibu bapa anda bukan orang yang jahat…” yang menunjukkan bahawa terlalu amat penting dijaga maruah keluarga. Ini berlawanan sekali dengan sikap setengah orang yang nafsi-nafsi tanpa berfikir tentang maruah diri, keluarga, bangsa dan ummat.
Kesimpulan:
26. Jelas boleh dinyatakan bahawa ketaqwaan dalam erti menjaga diri supaya sentiasa melakukan apa yang disuruh oleh Allah dan menjauhi larangan-larangannya merupakan kunci kebahagiaan dan kejayaan hakiki dunia dan akhirat zahir dan batin peribadi dan kolektif. Ianya perlu dijaga dengan mengusahakan-dengan izin Allah- keimanan dalam diri, pengabdian kepada Allah, akhlak yang tinggi, mengelak daripada akhlak yang hina, menyuburkan budaya ilmu dalam diri dan kemahiran dalam perkara yang berguna, serta mengamalkan hidup berdisiplin dan mengadakan hubungan yang baik dengan orang-orang dalam masyarakat bermula dengan ibu bapa, para guru dan rakan-rakan. Peribadi yang penuh keimanan, ketaqwaan, keilmuan dan kemahiran serta akhlak yang baik berdisiplin tinggi seta dengan jatridiri yang kental inilah yang merupakan aset tertinggi umat ini yang menjamin kejayaan dunia dan akhirat, dari peringkat nasional sampai ke peringkat internasional dengan izin Allah. Wallahu a’lam.
Ogos 2000
sumber : http://blogtraditionalislam.wordpress.com/2009/02/28/pembentukan-jiwa-remaja-yang-bertaqwa/
-tamat-






