Assalamualaikum
Berikut merupakan Sambungan post;
Pembentukan jiwa Remaja Yang Bertaqwa
Semoga perolah manfaat, insyaAllah.
Bagaimana Membina ketaqwaan
6. Ketaqwaan adalah kurnia Allah kepada para hambaNya yang dikasihinya.Yang boleh dilakukan oleh seseorang itu ialah mukaddimahnya; iaitu antaranya dengan membentuk kefahaman yang benar tentang aqidah Ahlis-Sunnah wal-jamaah yang merupakan satu-satunya sahaja aqidah yang benar berdasarkan kepada Quran, Sunnah dan ijma’ ulama dalam umat ini.
Mengenal Sifat-Sifat Allah
7. Hendaklah pengetahuan tentang Allah diketahui dengan baik dengan sifat-sifatNya: AdaNya, SediakalaNya, KekalNya, Menyalahi Yang BaharuNya, Berdiri SendiriNya, WahdaniyahNya, Sifat IlmuNya, HayatNya, KuasaNya, KehendakNya, MendengarNya, MelihatNya, Berkata-kataNya. Ini mesti diketahui dengan jelas dan yakin.
8. Hendaklah diketahui Ianya Maha Melihat, maka kita mesti memerhatikan diri kita supaya selalu taat kepadaNya dan tidak derhaka kepadaNya. kalau tersilap derhaka hendaklah dengan segera bertaubat kepadaNya dan jangan tangguhkan lagi taubat itu, sebab menangguh-nangguhkan taubat adalah satu dosa yang lain pula. Juga hendaklah diketahui SifatNya Mengintai dan memerhati hambaNya -ar-raqib; dengan itu hendaklah hamba menjaga segala perbuatan dan tutur katanya. Juga hendaklah diketahui dan diyakini bahawa Ia Maha Kuasa dan Maha Hebat, dengan itu timbul gerun dalam hati untuk derhaka kepadaNya. Hendaklah diketahuim Ia Maha Pemurah dalam memberikan kurnia dan memberikan pahala, tetapi dalam masa yang sama paling Kuat MarahNya dan Berat AzabNya. Dengan itu kita mengharapkan pahalaNya dengan melakukan kebajikan dan kita meninggalkan kejahatan untuk mengelak diri daripada dosa dan azab. Nau’dhu billahi min dhalik.
9. Hendaklah kita mengetahui perjalanan mereka yang solih bagaimana mereka selamat dengan taat kepada Allah dan bertaqwa kepadaNya, dan bagaimana pula mereka yang derhaka itu terkena bala dan dihukum di Akhirat.
10. Hendaklah juga kita mengenali sejarah dan memerhatikan bagaimana bangsa-bangsa dan orang-orang perseorangan yang taat selamat dan mereka yang mengamalkan nilai-nilai yang jahat binasa dan musnah.
Perlaksanaan Tugas-Tugas Kerohanian:
11. Juga hendaklah kita menjaga ketaqwaan kita dengan menjalankan tugas-tugas kerohanian kita seperti sembahyang, puasa, zakat dan lainnya, termasuk membaca Quran dengan memahami maknanya dan juga mengingati nama-nama Allah dengan mengamalkan zikir-zikir dan wirid-wirid serta doa-doa .
12. Sembahyang itu hendaklah dilakukan dengan menyempurnakan bersuci, wudhu dan tayammumnya (bila diperlukan). Sembahyang yang sah ialah sembahyang dengan menunaikan rukun tiga belasnya seperti niatnya yang betul, bacaan fatihahnya yang sah, berdirinya, takbiratyul-ihramnya, ruku’nya, I’tidanya, sujudnya, duduk antara dua sujudnya, sujud keduanya, tahiyat awal dan akhirnya, tama’ninahnya, tahiyat akhirnya dengan syahadahnya, selawat kepada nabinya, demikian seterusnya sampai kepada salamnya.
13. Selain daripada rukun tiga belas itu hendaklah diamalkan “rukun hatinya” pula sebagaimana yang diajarkan oleh Imam al-Ghazali rd, iaitu: faham bacaan-bacaan, (seperti doa iftitah, fatihah, tasbih ruku’, tasbih sujud, doa antara dua sujud, bacaan dalam tahiyat awal dan akhir, dan lain-lain bacaan di dalamnya), hadhir hati dan ingat ianya berada dalam sembahyang, rasa takut terhadap Allah, rasa ta’zim dan memuliakanNya yang amat sangat, harap kepada rahmatNya, keampunanNya, dan redhaNya, serta malu terhadapNya. Dengan ini sembahyang akan berkesan; dengan itu betullah apa yang dinyatakan dalam Quran dalam ayat yang bermaksud
“Sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada kerja-kerja yang keji dan perbuatan-perbuatan yang munkar” (‘Ankabut:45).
14. Puasa pula hendaklah dengan menjaga diri daripada membatalkan puasanya dengan tidak makan dan minum dan sebagainya. Juga hendaklah dijayakan puasa dengan mengawal anggota badan kita daripada melakukan kemaksiatan dengan tangan, kaki, mata, telinga, lidah, dan kemaluan. Bahkan jangan kita melakukan kemaksiatan dengan berfikir tentang perkara-perkara yang ditegah.
15. Membaca Quran hendaklah dilakukan dengan baik dan dengan memahami makna-maknanya misalnya sebagaimana yang ada dalam “Tafsir Pimpinan al-Rahman kepada Pengertian al-Quran”. Setiap orang pemuda sepatutnya memiliki tafsir Quran seorang sebuah. Dan hendaklah ianya dijadikan bacaan yang tetap setiap hari. Antara orang moden terkenal yang tidak renggang daripada Quran ialah penyaer Islam Muhammad Iqbal rh dari masa kecil sampai ia dewasa dan meninggal dunia.
16. Demikian pula hendaklah para remaja mempelajari doa-doa harian supaya ianya boleh diamalkan dan doa adalah amalan yang sangat mendatangkan kesan selain daripada usaha kita sendiri bayangkan bagaimana Nabi Muhammad saw muncul dalam dunia kerana keberkatan doa Nabi Ibrahim yang bermaksud
“Wahai Tuhan bangkitkanlah di kalangan bangsa Arab itu seorang rasul yang membaca kepada mereka ayat-ayat Engkau dan mengajar kepada mereka Kitab dan Hikmah Kebijaksanaan dan menyucikan mereka (daripada kesyirikan dan kemaksiatan)”.(al-Baqarah:129).
Doa-doa harian seperti doa-doa selepas sembahyang, doa ketika mahu membaca buku-buku pelajaran, doa-doa ketika hendak menghadapi peperiksaan, ketika menghadapi pelbagai kesusahan dalam hidup. Hendaklah amalan-amalan ini dilakukan semenjak kecil dan belia lagi. Termasuk ke dalamnya amalan-amalan zikir lepas sembahyang seperti amalan “Subhana’Llah”, “al-Hamduli’Llah”, “Allahu Akbar”, dan “la ilaha illa’Llah”, dan selawat kepada Nabi saw dan seterusnya.
(Bersambung)….. kesimpulan







[...] Pembentukan jiwa Remaja Yang Bertaqwa 2 [...]