Assalamualaikum
Berikut merupakan bahagian terakhir daripada post;
Semoga dengan ini kita sama-sama dapat mengislahkan diri dan memperbaiki segala kekurangan dan kecacatan akhlaq dan peribadi, insyaAllah.
Mengamalkan akhlak yang baik:
17. Mengamalkan akhlak yang baik adalah satu daripada jalan-jalan yang paling penting dalam membentuk jiwa bertaqwa dalam diri para remaja dan belia sama ada lelaki atau wanita.
18. Akhlak yang baik sedemikian penting sehingga dalam al-Quran nabi Muhammad saw dipuji oleh Allah dengan menyebutnya dari segi akhlaknya, sebagaimana yang jelas dalam ayat yang bermaksud:
“Sesungguhnya akhlak tuan hamba sungguhnya hebat wahai Muhammad):.(al-Qalam:4).
Dan dalam hadith riwayat Abu Daud dinyatakan bahawa Nabi diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia. Dan di kalangan sarjana Barat terkenal bahawa pimpinan Rasulullah saw berkesan “by sheer moral force” kerana akhlaknya yang sedemikian bertenaga.
19. Sifat-sifat yang mulia itu hendaklah difahami dan diyakini kebaikannya bagi membentuk ketaqwaan, mulai dengan sifat-sifat yang ada pada Nabi saw sendiri – sidiq (benar), amanah, tabligh (menyampaikan kebenaran) dan fatanah atau kebijaksanaan (dan kita menjadi bijaksana kerana kita menumpang kebijaksanaan Allah dan RasulNya dengan kita memahami Quran dan Sunnahnya dan kitab-kitab ulama yang menghuraikan kedua-duanya). Hendaklah kita berperagai dengan perangai yang baik seperti pemurah, ikhlas, rajin dalam kebajikan, tepat menunaikan janji,peramah, suka menolong orang yang memerlukan pertolongan, sabar , tekun dalam melakukan sesuatu pekerjaan yang baik.
20. Dan boleh disebutkan bahawa sebagai pelajar perlu dijaga, untuk menjaga ketaqwaan: keimanan yang kuat, pengabdian kepada Tuhan, akhlak yang mulia, mengambil berat tentangt usaha mempelajari ilmu, samada ilmu keagamaan atau juga ilmu-ilmu lainnya yang bermanafaat dalam rangka fardhu kifayah, disiplin dalam hidup dengan penuh tertib dalam semua perkara: dalam ibadat, belajar, pergaulan, dengan guru dan ibu bapa serta kawan-kawan dan seterusnya, serta sifat gigih atau bersungguh-sungguh.
21. Dan dalam hubungan dengan pelajar juga perlu disebut sifat-sifat taqwa sebagai pelajar: bersungguh-sungguh dalam mempelajari ilmu kerana Allah dan kerana hendak memberi kebaikan kepada diri, keluarga dan masyarakat serta negara dan ummat Islam, bahkan ummat manusia amnya. Juga hendaklah dijayakan budaya membaca dan mencatit secara berkesan, juga budaya membeli buku bila ada kemampuan. more…






