Archive for the Category »Siri Kenali Ulama’ Nusantara «

Kenali Ulama’ Nusantara (Siri 3)…

Koleksi tulisan Allahyarham WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani ulama’ Sufi penegak Jihad
Sejarah mengenai Syeikh Abdus Shamad ini terlalu banyak panjang untuk dibincangkan, sama ada mengenai asal-usul beliau, pendidikan, karya-karya, keturunan dan sebagainya.

Oleh itu, artikel ini merupakan bahagian pertama yang hanya meliputi pengenalan awal mengenai nama ayah dan pendidikan beliau sahaja. Selebihnya akan dibincangkan pada bahagian selanjutnya.

Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, pertama kali penulis perkenalkan dalam majalah Dian bilangan 100, Ogos 1977. Sumber awal yang dibicarakan sebahagian besar adalah berdasarkan cerita yang mutawatir yang didengar di Kepulauan Riau, Patani dan Kalimantan Barat. Yang bersumberkan bahan bertulis hanyalah berdasarkan berbagai-bagai edisi cetakan karyanya, maupun manuskrip simpanan penulis yang dipusakai dari Syeikh Ahmad al-Fathani.

Bahan itulah sebagai dasar utama penulis melakukan penyelidikan sehingga tulisan penulis dimuat dalam majalah Dian itu.

Terdapat banyak kisah yang ditulis oleh sarjana tempatan dan luar negeri tentang ulama yang berasal dari Palembang, Sumatera ini. Antaranya artikel penulis dalam majalah Dian tersebut, Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah karya Muhammad Hassan bin Dato’ Kerani Muhammad Arsyad (Dewan Bahasa dan Pustaka,1968), Syamsuddin bin Siddiq yang membuat tesis tentang Hidayatus Salikin, dan Dr. Mahmud Saedon bin Awang Othman dalam kertas kerjanya untuk Seminar Sufi Peringkat Kebangsaan.

Malahan penulis sendiri menerbitkan sebuah buku kecil berjudul Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani,Shufi Syahid fi Sabilillah (1983).Setelah itu menyusul pula buku Mengenal Allah Suatu Studi Mengenal Ajaran Tasawuf Syeikh Abdus Shamad al-Palimbani oleh Dr.M.Chatib Quzwan(1985). Dan berbagai-bagai buku lain, terakhir sekali buku Jaringan Ulama Timur Tengah dan Kepulauan Nusantara Abad XVII dan XVIII oleh Dr. Azyumardi Azra, tahun 1994.

Bagi penulis keseluruhan buku mengenai Syeikh Abdus Shamad yang diproses oleh para sarjana itu tidak banyak diperoleh bahan baru, kerana apa yang mereka bicarakan hanyalah berdasarkan tulisan yang telah ada dan tidak menemukan karya-karya Syeikh Abdus Shamad yang belum dibicarakan selama ini.

Menurut penelitian penulis, ada yang dibicarakan juga banyak bersimpangsiur dan terdapat banyak kekeliruan. Oleh itu penulis muncul kembali dengan buku Syeikh Abdus Shamad Palembang Ulama Shufi Dan Jihad Dunia Melayu terbitan pertama Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur, 1996. Dalam buku tersebut di beberapa halaman adalah sanggahan dengan tujuan untuk perbandingan, demi lebih meluruskan jalan sejarah yang sebenarnya.

Mengenali nama ayahnya more…

Kenali Ulama’ Nusantara (Siri 2)…

Karya Bahasa Arab Sheikh Ahmad al-Fathani

Oleh : Allahyarham Ustaz Wan Mohd Shogir Wan Abdullah

Adalah suatu penyelidikan yang keliru oleh beberapa penulis yang mengatakan Syeikh Ahmad al-Fathani meninggalkan karya lebih kurang 16 buah saja. Menurut kajian penulis sendiri, barangkali boleh ditambah ‘0’ di belakangnya, bererti menjadi 160. Bahkan lebih banyak daripada yang tersebut itu.

Kitab karangan Syeikh Ahmad AL-Fathani mengenai Feqah yang ditulis dalam Bahasa Arab.

Karya Sheikh Ahmad al-Fathani terbahagi kepada tiga bentuk iaitu:

A. Tulisan dalam bahasa Arab

B. Tulisan dalam bahasa Melayu

C. Kitab-kitab yang ditashhihnya termasuk beberapa bahasa daerah disesuaikannya dengan bahasa Melayu yang berlaku menurut zamannya. Kitab-kitab yang ditashhihnya terdiri pula kepada dua bahagian iaitu dalam bahasa Arab dan dalam bahasa Melayu.

Jumlah karya Syeikh Ahmad al-Fathani sebenarnya tidak diketahui kerana sebahagian besar koleksi manuskrip karya beliau atau orang lain yang dipindahkan dari Mekah ke Jambu, Patani oleh anaknya Kadi Haji Wan Ismail Al-Fathani telah musnah dalam Sungai Jambu dalam tahun 1970.

Beberapa naskhah pula diambil oleh beberapa orang yang tinggal di rumah beliau di Mekah yang kemudiannya membawa pulang ke tempat asal mereka. Manuskrip yang dapat diselamatkan hanyalah sebahagian kecil. Itu pun yang dibawa oleh Tuan Guru Haji Mahmud dari rumah Sheikh Ahmad al-Fathani di Mekah ke Gajah Mati, Pendang, Kedah. Ada juga yang dibawa ke Kepulauan Riau oleh anak beliau sendiri, iaitu Hajah Wan Zainab.

Seluruh karya Sheikh Ahmad al-Fathani yang telah diperolehi ataupun maklumat tentangnya yang telah diketahui akan dibicarakan dalam artikel ini. Karya yang ditulisnya dalam bahasa Arab diusahakannya sejak umurnya masih muda belia, ketika ia masih belajar di Baitulmaqdis dan Mesir.

Selanjutnya setelah pulang ke Mekah baru beliau menulis dalam bahasa Melayu. Walau bagaimanapun karyanya yang pertama yang ditulis ketika berusia 15 tahun ditulis dalam bahasa Melayu.

Karya

Berikut adalah sebahagian senarai karya-karyanya yang diketahui ditulis dalam bahasa Arab: more…

Kenali Ulama’ Nusantara (Siri 1)…

Syekh Ahmad al-Fathani

1. Riwayat Hidup

Syekh Ahmad bin Muhammad Zain bin Mustafa bin Muhammad bin Muhammad Zainal Abidin, lebih dikenal dengan nama Syekh Ahmad al-Fathani, dilahirkan pada tanggal 10 April 1856 M/5 Sya‘ban 1271 H di Jambu, Jerim, Pattani, Thailand Selatan. Ayah dan ibunya merupakan keturunan pembesar Daulah Fathani Darussalam. Sedangkan kakeknya, Syekh Mustafa al-Fathani, yang bergelar ‘Datuk Panglima Kaya Fathani‘ adalah seorang hakim yang bertugas menentukan sah dan tidaknya pelantikan seorang raja dan pembesar kerajaan di Daulah Fathani Darussalam, Thailand Selatan. Ia lahir dalam kondisi negerinya tertindas dan terjajah, sehingga memaksa dia dan orang tuanya untuk pindah ke Mekah, Saudi Arabia.

Sebelum hijrah ke Mekah, Syekh Ahmad al-Fathani pernah belajar ilmu agama kepada ayahnya, Muhammad Zain dan seorang ulama Daulah Fathani Darussalam, Syekh Abdul Kadir Mustafa. Pada tahun 1860, ia hijrah ke Mekah, mengikuti ayah dan ibunya, untuk menuntut ilmu agama. Di Mekah, ia memiliki kesempatan untuk belajar agama kepada beberapa ulama, baik ulama Melayu ataupun ulama Arab yang bermukim di kota ini. Dengan demikian, ia tumbuh dan besar dalam lingkungan dan budaya yang sangat menghargai ilmu pengetahuan. Selama di Mekah, ia menunjukkan diri sebagai anak yang rajin belajar. Ia dikenal memiliki kemampuan menghafal yang luar biasa. Dalam usianya yang masih sangat belia, ia telah mampu mengajar ilmu tata bahasa Arab (nahwu dan sharaf).

“Nusantara telah melahirkan ramai ahli-ahli ilmu yang disegani”

Syekh Ahmad al-Fathani kemudian pergi ke Baitul Maqdis untuk menuntut ilmu kedokteran/ilmu tabib. Menurut riwayat, beliaulah orang Melayu pertama yang mahir ilmu tabib dan mendapat pendidikan khusus di bidang tersebut. Pendidikan ketabiban yang dikuasainya telah membedakan dirinya dengan tabib-tabib tradisional saat itu. Di kota Baitul Maqdis inilah ia mendapat inspirasi untuk menulis bukunya yang berjudul “Thayyib al-Ihsan fi Thib al-Insan”. Setelah itu, ia kembali ke Mekah untuk meneruskan belajar kepada guru-guru Pattani, seperti Syekh Daud bin Abdullah al-Fathani. Beberapa tahun kemudian, ia pergi menuntut ilmu ke Mesir; negeri yang terkenal sebagai pusat ilmu pengetahuan keislaman dengan kemegahan Universitas Al-Azharnya. Di negeri ini, ia tercatat sebagai pelajar pertama dari Asia Tenggara. Sekembalinya dari Mesir, ia kemudian mengajar di Mekah selama kurang lebih 15 tahun.

Menurut riwayat, selama belajar di Mesir, Syekh Ahmad Al-Fathani telah mulai menu­lis buku-buku tentang ilmu tata bahasa Arab. Karya-karyanya kemudian dikenal oleh banyak orang sehingga ia dianggap sebagai salah satu pakar bahasa Arab di kota Mekah. Kepakarannya dalam bahasa Arab didengar oleh raja Mekah, sehingga ia kemudian diangkat menjadi ahli bahasa kerajaan (Arab Saudi: sekarang) di bawah pemerintahan Turki Usmani. Ia termasuk salah satu ulama Melayu yang menguasai berbagai disiplin ilmu pengetahuan dan menulis lebih dari 100 buku. Karya-karyanya ditulis dalam berbagai bahasa; bahasa Arab 32 buah, bahasa Melayu 22 buah, dan di bidang pentashihan 36 buah. Ia wafat di Mina ketika sedang melaksanakan ibadah haji pada tanggal 11 Zulhijah 1325 H/14 Januari 1908 M dan dimakamkan dekat makam Umul Mukminin ‘Siti Khadijah‘ di Ma‘la, Mekah, Saudi Arabia.

2. Pemikiran

Tidak disangkal bahwa adanya jaringan ulama Nusantara yang terbangun sejak abad 17 telah menunjang penyebaran keilmuan dan keintelektualan Islam di Melayu. Ulama-ulama tersebut ber­peran besar dalam menunjang kemajuan peradaban Islam. Salah seorang di antara ulama tersebut adalah Syekh Ahmad Al Fathani. more…

Kenali Ulama’ Nusantara (Siri Pengenalan)…

Bismillahirahmanirahim.

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam ke atas Baginda Nabi Muhammad SalallahuAlaihiWaSalam…

Assalamualaikumwarahmatullah.

Alhamdulillah, setelah sekian lama memendam hasrat untuk mewujudkan siri ini, akhirnya pada malam ini diberikan kekuatan oleh Allah Ta’ala untuk memulakan siri ini sebagai santapan ilmu untuk saya dan pembaca semua. Benarlah kata-kata Ulama’,

لا حول عن معصية الله إلا بعصمة الله ولا قوة على طاعة الله إلا بعون الله

Sesungguhnya tiada daya terhadap perbuatan maksiat kepada Allah melainkan dengan perlindungan Allah, dan sesungguhnya tiada kekuatan ke atas mentaati Allah melainkan dengan pertolongan Allah.

Di dalam sebuah hadith,

Maksudnya: Daripada Abdullah bin Amru bin al-’as; ia berkata ; Saya ada mendengar Rasulullah S.A.W bersabda : Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu pengetahuan itu dengan mencabutnya daripada dada para hamba, tetapi Allah mencabut ilmu itu dengan mematikan Ulama’. Sehingga tidak ada orang alim (ulama), waktu itu manusia akan melantik (mengambil) para pemimpin yang jahil-jahil, ketika mereka ditanya (minta fatwa), mereka akan menjawab (memberi fatwa) tanpa ilmu. Mereka itu adalah orang yang sesat dan menyesatkan orang lain.

Tidak dapat disangkal lagi bahawa daerah nusantara telah melahirkan ramai ulama’-ulama’ yang disegani di seluruh pelosok dunia. Hasil-hasil karya yang ternukil sering menjadi rujukan bukan sahaja di daerah nusantara, malahan hingga ke daerah arab.

Ulama’ menurut pengertian umum ialah mereka yang mampu menginstinbatkan hukum berdasarkan dalil-dalil nas yang qat’i dan zanni serta memahami sesuatu itu berdasarkan dalil dan hujah. Seseorang itu untuk mencapai taraf ulama’ mujtahid mestilah mempelajari segala bidang ilmu yang berkaitan dengan keagamaan. Maka dengan tertulisnya rangkap ini, dapat difahami bahawa bukan semua orang layak digelar sebagai ulama’.

Benar Allah ta’ala telah melimpahkan kurnianya kepada Penduduk-penduduk nusantara dengan senarai ulama’-ulama’ yang tidak kurang hebatnya. Namun, sebagai orang yang beriman, ujian daripada Allah itu tidak dapat tidak di elak. Ujian datang , dengan Allah mematikan Para ulama’ sedikit demi sedikit, sehinggalah ilmu yang melimpah ruah suatu ketika dahulu hilang ditelan zaman. Jika usaha untuk tidak mengenali ulama’-ulama’ nusantara tidak diketengahkan , maka hilanglah segala warisan-warisan permata ilmu ulama’ zaman silam.

Hari ini apabila ditanya kepada pemuda-pemudi tentang kewujudan Sheikh Ahmad Al-Fathani, Sheik daud Al-fathani,Al habib Alwi bin thohir al-haddad dan sebagainya, maka jawapan yang diterima sudah pastinya ‘saya tidak tahu’. Apabila ditanya tentang kitab-kitab seperti Aqidatun Najin, Al-Fatawal Fathaniyah, Jumanat al-Tauhid,dan Faridat al-Fara‘id fi ‘Ilm al-‘Aqa‘id, masing-masing hanya mampu menggarukan kepala.

Oleh itu, satu usaha harus dijalankan bagi memperkenalkan kembali ulama’-ulama’ silam dan karya-karya yang begitu kaya dengan ilmu pengetahuan sebagai satu langkah bagi memastikan ilmu itu tidak pupus, dan juga sebagai satu pemangkin dan semangat bagi pemuda-pemudi untuk menjelajah kelautan ilmu Ulama’ nusantara.

Maka siri ini saya namakan sebagai ‘Kenali Ulama’ Nusantara’, sebagai satu wadah untuk kita mengenali ulama’-ulama’ nusantara dengan lebih dekat. Article-article yang disiarkan adalah hasil tulisan Allahyarham Ustaz Wan Mohd Shogir Wan Abdullah. Semoga Beliau dikurniakan ganjaran yang besar daripada Allah SWT atas usaha beliau yang tidak ternilai ini.

Semoga dengan ini kita memproleh manfaat.

Wallahualam…

-Anwar Al-Johory-

Siri Kenali Ulama’ Nusantara